SEJAK menyertai industri seni suara pada 2017, pendatang baharu yang memperkenalkan dirinya sebagai Haikal Farid sudah mempunyai tiga buah lagu dimulai dengan single perdana berjudul Genggam.
Ketika itu, dia berusia 18 tahun dan baru sahaja menamatkan sesi persekolahan sebelum dilamar oleh seorang komposer, Darryl Ezreen untuk menyanyikan lagu tersebut.
Selang setahun, anak muda itu kemudian tampil melancarkan single kedua berjudul Demam Cinta. Menariknya, lagu berkenaan mendapat sentuhan sepenuhnya penyanyi dan komposer Asfan Shah.
Meskipun kedua-dua lagunya tidaklah semeriah karya pendatang baharu lain yang menerima jutaan tontonan dalam platform YouTube, namun tidak sedikit pun situasi tersebut mematahkan semangat Haikal untuk meneruskan langkah.
Menebar harapan untuk kekal berjuang di atas landasan yang dipilihnya, pemilik nama lengkap Mohamad Haikal Farid Rizal itu tampil dengan buah tangan ketiga berjudul Tak Terganti yang mula diluncurkan secara rasmi pada 18 Januari lalu.
“Saya akui penerimaan lagu ketiga saya tidaklah begitu memuaskan mungkin kerana genrenya yang agak berat. Lagu ini bernuansa balada tetapi sangat berat dari segi muzik dan emosi.
“Jadi, apa yang saya sasarkan sekarang adalah untuk ‘menjual’ lagu ini menjadi runut bunyi (OST) drama tempatan. Dengan cara begitu, akan melonjakkan lagu ini supaya lebih dikenali ramai,” ujarnya.
Lagu Tak Terganti mendapat sentuhan daripada penyanyi dan komposer Adi Priyo iaitu vokalis kumpulan 6ixth Sense.
Mungkin nasib dan tuah masih belum mahu memihak kepadanya, Haikal mengakui meskipun pernah mempertaruhkan dua buah lagu hasil ciptaan komposer terkenal seperti Asfan dan Adi, tidak bermakna jalan yang dilaluinya sudah terjamin selesa.
“Sejujurnya, tidak ada timbul rasa sedih apabila lagu-lagu saya kurang mendapat sambutan. Sebaliknya situasi sebegini membuatkan saya berasa lebih bersemangat untuk melakukan dan memberi karya yang baik pada masa akan datang.
“Pokoknya, ini semua soal rezeki. Apa yang penting, teruskan melangkah dan jangan pernah berputus asa. Perjalanan saya masih jauh di depan,” ujarnya optimis menyusun bicara.
Muzik ringkas
Ditanya tentang perancangan selepas ini agar perkara sama tidak berulang untuk lagu seterusnya kelak, Haikal berkata, dia akan cuba keluar dari kepompong sekarang dengan mencuba muzik yang berbeza.
Jika ketiga-tiga lagunya sebelum ini bernuansa berat, selepas ini dia menyusun strategi untuk meluncurkan karya yang bersifat lebih ringan.
“Mungkin lagu-lagu sebelum ini kurang mendapat sambutan disebabkan genre yang terlampau berat. Sebab itu sekarang saya dalam fasa mengkaji genre yang disukai pendengar masa kini.
“Jika ditanya genre kesukaan, saya sebenarnya sukakan muzik yang ringkas. Atau lebih senangnya, muzik yang bersadur cinta dan romantis seperti lagu Kisah Cinta Kita nyanyian Hafiz Suip. Cukup ada petikan gitar dan piano sahaja, itu pun saya suka.
“Kalau lagu Tak Terganti menerima nasib sama seperti dua buah karya terdahulu, selepas ini saya perlu berusaha lebih keras mencari genre sesuai. Sama ada cari komposer yang hasilkan genre sebegitu ataupun saya yang akan buat lagu sendiri,” katanya lagi.
Sedikit pengenalan profil karier penyanyi itu, dia sebelum ini pernah menyertai program realiti Immortal Songs terbitan TV3 pada September tahun lalu menerusi episod keempat yang menampilkan penyanyi tersohor Datuk M. Nasir.
“Itulah pengalaman pertama saya menyertai program televisyen tetapi paling manis untuk dikenang sebab agak mengejutkan saya dapat nombor dua paling tinggi di bawah penyanyi Stacy mengalahkan nama popular lain seperti Sufian Suhaimi dan Yonnyboii.
“Memang tidak dinafikan bahawa program realiti memang banyak membantu artis baharu seperti saya untuk lebih melonjak dan dikenali. Pada masa hadapan, saya tidak menolak andainya ada rezeki menyertai program realiti lain,” tutupnya mesra.