fbpx

GCH Retail labur RM25 juta lancar penjenamaan semula Giant

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (GCH Retail), anak syarikat Dairy Farm International yang mengendalikan rangkaian pasar raya besar Giant, melabur sehingga RM25 juta untuk melancarkan penjenamaan semula bagi kesemua 57 ­cawangannya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Dairy Farm (Perniagaan Makanan Asia Tenggara), Chris Bush berkata, perkembangan terbaharu itu turut meliputi rancangan pembukaan 10 kedai mini Giant di beberapa lokasi terpilih tahun ini.

“Antara kriteria pemilihan tempat untuk membangunkan format kedai tersebut adalah ia harus berada dalam komuniti berhampiran dengan tempat tinggal pengguna.

“Kami juga telah mengkaji tindak balas pelanggan selama lebih enam bulan lalu dan menterjemahkannya dalam langkah penjenamaan semula ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Bush menerangkan, faktor ­perubahan pasaran menyebabkan penutupan beberapa pasar raya Giant sejak beberapa bulan ke­belakangan untuk memberi tumpuan kepada cawangan lain yang lebih berjaya selain mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan saiz kedai yang lebih kecil.

Beliau mengakui musim pandemik memperlahankan proses transformasi GCH Retail selain berdepan cabaran untuk menyediakan rantaian bekalan di seluruh dunia dalam tempoh 12 bulan terakhir namun ia berjaya diatasi dengan sokongan padu pasukan kakitangan tempatan.

Dalam tempoh tersebut, pihaknya secara berperingkat turut mencuba pendekatan mendapatkan bekalan makanan segar dari sumber luar secara terus berbanding melalui orang tengah untuk membantu golongan seperti petani tempatan menjana lebih pendapatan.

Tambahnya, memasuki usia 77 tahun sejak bertapak di negara ini pada 1944, GCH Retail bukan sahaja menukar logonya kepada gaya yang lebih kontemporari malah memperkenalkan lebih 2,000 produk baharu me­rangkumi barang runcit segar dan keperluan harian.

Pihaknya turut memperkenalkan lebih 400 produk antaranya snek, peralatan dapur dan barang penjagaan diri pada harga rata RM3 yang akan ditukar secara berjadual serta boleh dibeli di pasar raya Giant terpilih pada setiap hari.

Bush menjelaskan, GCH Retail turut menerima sokongan kuat daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melibatkan lebih 10,000 produk di pasar raya terbesar Giant iaitu di Kota Damansara, Selangor.

“Contoh terbaik ialah ­Meadows,jenama eksklusif Dairy Farm dan Giant dengan 237 produk telah dilancarkan tahun lalu dan sekitar 200 hingga 300 produk lagi akan diperkenalkan tidak lama lagi.

“Harganya 20 peratus lebih murah berbanding jenama pe­neraju namun ia terdiri daripada produk berkualiti,” katanya.

Mengulas mengenai segmen pasaran online, Bush berkata, ia hanya menyumbang peratusan yang amat kecil dalam pendapatan Giant Retail memandangkan pelanggan dilihat lebih gemar mengunjungi pasar raya serta bebas memilih barangan ikut ke­perluan dan kehendak mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI