SEVILLE, Sepanyol – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mengakui tidak pernah meragui keupayaan pemainnya untuk bangkit daripada kekalahan kepada West Brom sebelum ini untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas FC Porto dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah awal pagi semalam.
Pada saingan yang berlangsung di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan itu, Chelsea yang hadir sebagai pasukan pelawat tidak mempunyai masalah untuk mendominasi perlawanan dengan meraih gol hasil ledakan Mason Mount dan Ben Chilwell.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan skuad The Blues melupakan ‘pengalaman ngeri’ selepas tewas 2-5 kepada West Brom minggu lalu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri.
Kata Tuchel, anak-anak buahnya telah membuktikan bahawa kritikan yang dilemparkan sebelum ini bahawa mereka akan terus merudum adalah silap selepas berjaya mempamerkan aksi berkualiti dengan menentang lawan sukar seperti Porto.
“Semua orang tahu kualiti dimiliki oleh pasukan Porto sangat tinggi terutama apabila kita sedang memasuki saingan suku akhir. Justeru, saya sangat berpuas hati apabila barisan pemain berjaya membuktikan kemampuan sebenar mereka dengan meraih kemenangan penting,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tuchel turut mengakui terpukau dengan jaringan cantik yang dilakukan oleh Mount dan Chilwell yang memastikan pasukan itu selangkah untuk ke pentas separuh akhir.
“Saya sangat gembira dengan apa yang dipamerkan oleh Mount untuk menjaringkan gol pertama sekali gus memberi ketenangan buat pasukan mengharungi saingan lebih baik. Gol jaringan Chilwell turut menarik dan saya harap semua pemain kekal fokus kerana saingan masih berbaki 90 minit,” katanya. – AGENSI