fbpx

Beli rumah, dapat hutan belukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan projek perumahan di Kampung Bukit Tiu yang dipenuhi semak samun selepas terbengkalai sejak 2008.

MACHANG – “Rumah yang kami beli, ‘hutan belukar’ yang kami dapat.”

Itu luahan pembeli sebuah projek perumahan di Kampung Bukit Tiu, Mukim Bukit Bakar, Daerah Ulu Sat di sini selepas pemaju gagal menyiapkan rumah mereka.

Difahamkan projek berkenaan dibangunkan sebuah pemaju yang beralamat di Pengkalan Chepa bermula tahun 2004, namun selepas lebih 16 tahun, ia hanya 60 peratus siap dan kini telah ‘ditutup’ hutan belukar.

Pada masa sama, pembeli tetap perlu membayar pinjaman bank sehingga kini.

Menurut seorang pembeli yang ingin dikenali sebagai Nasrol, 42, dia membeli rumah di projek berkenaan pada 2006 dengan pinjaman bank kira-kira RM86,000.

Ketika itu, dia dan beberapa rakan pembeli lain tidak mengesyaki sebarang perkara mencurigakan.
“Bagaimanapun pada 2008, projek itu seolah-olah dihentikan oleh pemaju tanpa sebarang makluman atau alasan munasabah. Kami mula khuatir ia akan terbengkalai.

“Namun kami masih mempercayai pemaju berkenaan. Kepercayaan itu akhirnya pudar selepas melihat ‘rumah’ kami mula dinaiki semak samun,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bercerita lanjut, Nasrol berkata, mengikut surat perjanjian yang ditandatangani dengan pemaju, rumahnya sepatutnya siap pada 2008.

“Kini, saya hanya boleh melihat sebuah bangunan yang dipenuhi hutan belukar, namun masih perlu menjelaskan pinjaman bank kira-kira RM530 sebulan,” katanya yang bertugas sebagai pengurus di sebuah agensi kerajaan di negeri ini.

Senasib dengan Nasrol adalah Zaidi, 40 tahun.

Menurutnya, semakan di Jabatan Perumahan Negara mendapati syarikat pemaju berkenaan tidak pernah berdaftar dan tidak memiliki sebarang lesen daripada jabatan itu.

“Bagaimana pihak berkuasa tempatan dapat meluluskan projek, manakala bank boleh meluluskan pinjaman sedangkan pemaju tidak mempunyai lesen sah daripada Jabatan Perumahan Negara?

“Kami cuba hubungi pemaju yang diketuai seorang ahli majlis daerah di sebuah jajahan di ne­geri ini, namun gagal dan syarikat itu pun sudah tidak wujud,” katanya yang diberitahu bank telah membuat bayaran sebanyak 90 peratus daripada nilai keseluruhan projek kepada pemaju.

Tambah Zaidi, beberapa laporan polis sudah dibuat dan dia berharap pihak bertanggungjawab dapat segera menyelesaikan isu ini kerana pembeli tidak sanggup lagi menanggung beban hutang bank.

Kosmo! difahamkan terdapat lebih 20 individu telah membeli rumah di projek berkenaan pada harga antara RM80,000 hingga RM100,000 seunit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI