fbpx

1,126 kematian Covid-19 berkaitan penyakit komorbid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham ketika berucap melancarkan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat Kebangsaan 2021 di KKM hari ini. - Foto: Facebook KKM

PUTRAJAYA – Kira-kira 86.3 peratus atau 1,126 kematian akibat Covid-19 adalah individu yang mempunyai sejarah komorbid seperti menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis, penyakit jantung dan obesiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, peratusan itu adalah daripada keseluruhan 1,306 kematian yang direkodkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Kebangsaan Kementerian Kesihatan sehingga 7 April lepas.

“Jelas sekali kesemua penyakit tidak berjangkit (NCD) banyak berkaitan dengan pemakanan sekaligus risiko kematian komorbid adalah tinggi apabila dijangkiti Covid-19,” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat Kebangsaan 2021 dan inisiatif MyChoice di sini hari ini.

Sementara itu, Adham berkata, prevalen berlebihan berat badan dalam kalangan orang dewasa adalah 30.4 peratus pada tahun 2019 atau dalam bahasa mudahnya, satu dalam setiap dua rakyat dewasa negara ini sedang mengalami obesiti.

Katanya, hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan secara berkala terdapat peningkatan prevalen obesiti secara mendadak setiap tahun dalam kalangan orang dewasa.

“Bermula 1996, peratusan obesiti hanyalah 4.4 peratus dan ia meningkat lebih tiga kali ganda dengan menjadi 14 peratus pada tahun 2006 di mana ia terus meningkat kepada 17.7 peratus pada 2015 dan pada tahun 2019, ia mencatatkan peratusan iaitu 19.7 peratus.

“Tinjauan turut menunjukkan peningkatan prevalen diabetes dalam kalangan orang dewasa iaitu daripada 11.6 peratus pada tahun 1996 kepada 15.2 peratus pada 2006 dan 17.5 peratus pada tahun 2015 manakala yang terbaharu pada tahun 2019 iaitu 18.3 peratus,” katanya.

Katanya, bagi prevalen hipertensi turut menunjukkan peningkatan daripada 32.2 peratus pada tahun 1996 kepada 32.7 peratus pada tahun 2006 namun berlaku penurunan sedikit iaitu 30.3 peratus pada tahun 2015 dan 30 peratus pada tahun 2019. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI