fbpx

‘Suspek’ pijak lembu sudah ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gajah jantan yang dipercayai memijak mati dua ekor lembu ditangkap oleh Perhilitan Kelantan di Kampung Subong, Gua Musang semalam.-Foto Ihsan Perhilitan Kelantan

GUA MUSANG – Seekor gajah jantan liar yang dipercayai mengamuk dan memijak dua ekor lembu ternakan penduduk hingga mati di Kampung Subong di sini minggu lalu berjaya ditangkap semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, gajah jantan bergading dengan ukuran tapak 33 sentimeter itu ditangkap ketika ia sedang mencari makanan di kawasan kebun kira-kira pukul 1 petang.

Katanya, gajah liar dianggarkan berusia antara 15 hingga 20 tahun itu merupakan gajah yang terdapat di dalam kawasan Hutan Simpan Nenggiri yang terletak berdekatan kampung itu.

“Lapan anggota Perhilitan Kelantan telah melakukan pemantauan di kawasan itu selepas menerima aduan daripada penduduk mengenai seekor gajah yang berkeliaran di kawasan kebun mereka.

“Hasil pemantauan mendapati, gajah liar berkenaan merupakan gajah sama yang mengganggu tanaman penduduk di kawasan Kampung Kundur dan Panggong Lalat pada bulan Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ady Ermanty Haniff berkata, penangkapan itu melegakan pekebun di tiga kampung itu kerana dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami akibat kematian haiwan ternakan dan kemusnahan tanaman.

Katanya, operasi pemindahan gajah liar itu akan dilakukan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI