BERDASARKAN judul yang tertulis, karya arahan sutradara muda, Syafiq Yusof tersebut seperti memberi refleksi kepada nuansa masyarakat hari ini yang acap kali dibelenggu penyakit ‘penunggang agama’. Zaman media sosial menjadi pemudah cara memperhebatkan lagi pentas pertunjukan perihal masalah yang sedang melanda masyarakat.
Sekarang, siapa pun tidak boleh menghakimi skala iman seseorang hanya kerana niqab atau kopiah yang 24 jam melekat di kepala. Kita juga tidak patut menuding jari terhadap wanita atau lelaki yang berpakaian mencolok mata sekadar hidup menempah tiket ke neraka.
Sesungguhnya, kehidupan zaman ini sukar ditafsir. Kita sukar untuk menentukan siapa yang baik, siapa pula si durjana hanya berpandukan penampilan fizikal.
Berbicara tentang Penunggang Agama, penulis sebenarnya tertarik dengan judul filem yang sememangnya sudah lama seperti menunggu masa untuk divisualkan.
Adakah filem berkenaan layak untuk dilanggan? Barangkali, ya. Adakah wajar kalau ingin diangkat ke pawagam walaupun secara realitinya perkara tersebut tidak akan berlaku? Mungkin perlu berfikir beberapa kali ke arah berkenaan.
Berdasarkan permainan atau perkembangan karakter, skor muzik, ‘jumpscare’ dan bermacam hal lain dalam konteks sebuah naskhah drama keagamaan, filem ini banyak menggunakan templat filem yang datang daripada ‘lorong’ sama iaitu Munafik.
Templat Munafik
Penyataan tersebut bukan sesuatu yang janggal memandangkan Syafiq merupakan adik kepada orang yang bertanggungjawab membangunkan jenama Munafik, Syamsul.
‘Sifu’ dua sutradara itu juga barangkali individu yang sama iaitu Datuk Yusof Haslam iaitu merupakan bapa mereka.
Menyentuh tentang perkembangan karakter, Zul Arifin menampakkan sisi berlainan.
Jika sebelum ini dia sering melakonkan watak aksi, lelaki ‘macho’ atau figura yang sering dihambat kasmaran cinta, kali ini, Zul memberi sedikit perbezaan dengan karakter ‘ustaz-ustaz’.
Zul yang melakonkan watak sebagai Amir tidak banyak mendatangkan masalah kepada penonton. Begitu juga watak isterinya, Anna yang dimainkan Azira Shafinaz.
Nasir tetap ‘sama’
Azira melunaskan tanggungjawab dengan sebaiknya namun kalau sentuh sedikit tentang impak, tidak banyak yang boleh diberikan pujian. Watak Tok Haji juga sama, tidak banyak yang boleh dipalu.
Maksud penulis, kita semua tahu yang Nasir Bilal Khan merupakan seorang pelakon hebat namun dalam konteks filem ini, penonton seperti sudah disogokkan dengan visual tanpa kejutan.
Secara peribadi, dalam tempoh 20 minit pertama lagi penonton sudah dapat menjangkakan graf dan impak karakter Tok Haji lakonan Nasir.
Naratif Penunggang Agama juga tidak banyak perbezaaan dengan francais Munafik. Rasanya seperti melihat sub-filem Munafik dengan ‘nada’ dan nuansa yang tidak banyak perbezaan.
Selain Nasir, Sabrina Ali juga antara pelakon yang sering menjadi pilihan Skop Production untuk menjayakan sesuatu watak.
Tiada yang salah, cuma barangkali penonton dahagakan pembaharuan yang sedikit keluar daripada kepompong lazim selama ini.