PETALING JAYA – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan memberi kelonggaran untuk melanjutkan waktu operasi perniagaan sepanjang Ramadan ini.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia bagi membolehkan pelanggan bersahur atau membeli juadah bersahur di semua restoran dengan mudah tanpa had masa sehingga tengah malam sahaja.
“Cadangan ini difikirkan perlu memandangkan ada pelanggan yang meminta pemilik restoran membuka kedai untuk membeli makanan bagi tujuan sahur.
“Presma akan memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan sebaik mungkin memandangkan negara masih lagi berdepan penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Jawahar Ali berkata, pihaknya juga memohon agar kerajaan dapat memberi kelonggaran kepada pekerja asing untuk kembali bekerja selepas pulang bercuti ke negara mereka sebelum ini.
“Presma ingin meminta kerajaan meneliti cadangan untuk membenarkan kumpulan ini masih ke Malaysia untuk bekerja dengan majikan mereka dengan pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Untuk rekod, industri restoran di negara ini berdepan masalah kekurangan pekerja malah majikan sudah pun membayar penuh levi pekerja walaupun ada yang bekerja sekitar satu bulan dan balik ke negara asal,” jelasnya.
Katanya, Presma berharap ia dapat membantu ekonomi domestik kerana sejak dibenarkan beroperasi baru-baru ini, industri itu kembali pulih secara perlahan-lahan dan memerlukan jumlah pekerja yang signifikan untuk operasi secara optimum. – K! ONLINE