KLANG – Tindakan pemilik sebuah premis menyimpan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi melebihi had dibenarkan memakan diri apabila diserbu dalam kejadian di Kampung Telok Nipah, Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kira-kira pukul 11 pagi menemukan 300 silinder LPG bersubsidi yang berisi 12 dan 14 kilogram (kg).
Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi itu hasil risikan selama sebulan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terhadap aktiviti mencurigakan apabila terdapat lori membawa gas LPG keluar masuk ke premis terbabit.
Katanya, ketika serbuan terdapat seorang pengurus premis itu dengan memaklumkan telah beroperasi sejak tiga tahun yang lalu.
“Difahamkan premis itu memasarkan bekalan gas LPG bersubsidi kepada pengguna dan restoran di sekitar daerah ini
“Lelaki itu mengakui menyimpan bekalan gas LPG lebih dari biasa ekoran permintaan tinggi dari pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, premis itu mendapat bekalan tersebut daripada pemborong di daerah ini menerusi penemuan resit penghantaran gas LPG Itu.
Tambah Muhammad Zikril, pengurus kilang itu tidak pernah membuat permohonan tambahan kauntiti pada lesen terbabit dengan alasan tidak mengetahui menyimpan stok melebihi had yang dibenarkan menjadi suatu kesalahan.
“Kesemua 300 silinder LPG itu bernilai RM30,000 dan lesen perniagaan telah disita.
“Kes disiasat dibawah Peraturan 10(1) Peraturan Kawalan Bekalan iaitu pemegang lesen tidak boleh ada dalam milikannya apa-apa barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti yang ditetapkan dalam sesuatu masa didalam lesen,” jelas . -K! ONLINE