SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang bekerja dengan sindiket pinjaman wang haram atau ah long ditahan polis kelmarin selepas menyimbah cat merah pada sebuah rumah di Taman Mesra, Butterworth di sini.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan di Taman Mesra kira-kira pukul 2.30 petang selepas penghuni sebuah rumah menyedari kejadian itu berlaku di rumahnya pada sebelah pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, seorang wanita mendakwa melihat seluruh dinding rumahnya disimbah cat merah pada pukul 8.30 pagi.
“Terdapat satu nota kecil tertera nama seorang perempuan bersama satu pesanan yang ditinggalkan, biarpun pengadu mendakwa tidak pernah meminjam wang.
“Nota itu tertera kata-kata, ‘utang (hutang) wang bayar wang ini peringatan pertama WhatsApp ke satu nombor telefon’,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, pihaknya berjaya menangkap suspek yang bergerak secara solo itu kira-kira lima jam selepas menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.-K! ONLINE