CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan notis Siasatan Awam mengikut Seksyen 61 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 untuk mengkaji semula tiga Piawaian Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) sedia ada berkaitan perkhidmatan telekomunikasi.
Pada masa sama, notis Siasatan Awam itu juga MCMC juga bagi memperkenalkan satu MSQoS baharu berkaitan perkhidmatan pelanggan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.
MCMC berkata, Siasatan Awam itu bertujuan mengumpulkan pandangan orang ramai dan semua pihak berkepentingan tentang cadangan piawaian baharu berkaitan perkhidmatan-perkhidmatan terbabit bagi menggantikan MSQoS sedia ada.
Katanya, MSQoS terlibat adalah MSQoS Perkhidmatan Pelanggan (baharu), MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar, MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap dan MSQoS Perkhidmatan Selular Awam.
“MCMC berpandangan MSQoS baharu dengan piawaian minima yang lebih tinggi perlu diperkenalkan bagi menyesuaikannya dengan perkembangan teknologi terkini.
“Selain itu, ia bagi memenuhi kehendak pelanggan dan hala tuju strategik negara ke arah pembangunan masa hadapan mengikut acuan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Inisiatif MyDigital,” katanya.
Katanya, kegagalan mematuhi MSQoS yang telah diwartakan boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi yang terbabit didenda di bawah Seksyen 242 AKM 1998.
MCMC berkata, pihak-pihak berkepentingan boleh menyemak semua cadangan MSQoS yang bakal diperkenalkan dan memberi ulasan masing-masing selepas membaca notis dan dokumen MSQoS berkaitan melalui pautan di www.mcmc.gov.my mulai hari ini sehingga 4 Jun depan.-K! ONLINE