SHAH ALAM -Kadar Zakat Fitrah di Selangor kekal sebanyak RM7 seorang seperti tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M.Yusop berkata, kadar tersebut selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di Selangor.
“Penetapan kadar zakat fitrah RM7.00 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat.
“Walau bagaimanapun, LZS turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan,”katanya selepas majlis penyampaian agihan zakat Worldwide Holdings Berhad di Seksyen 13 di sini hari ini.
Saipolyazan memberitahu, kadar zakat fitrah untuk golongan berkemampuan tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang memakan beras putih import, beras perang,beras pulut, herba ponni dan beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi,beras
jepun, dan beras merah.
Beliau menjelaskan galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.
“Sepanjang tahun 2020, kutipan zakat fitrah adalah sebanyak RM31.1 juta semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung berbanding tahun sebelumnya dengan RM26juta,” katanya. -K!ONLINE