BANGKOK – Lima ekor gajah bersama gembalanya berjalan 500 kilometer dari Pattaya ke wilayah Surin di timur laut Thailand selepas berputus asa dengan industri pelancongan yang malap, lapor akhbar The Thaiger News kelmarin.
Gembala itu terpaksa berjalan kaki pulang ke Surin kerana tidak mampu menyewa treler untuk membawa gajah-gajahnya.
Selepas tidak lagi menerima pelancong dari China yang merupakan pelanggan utama aktiviti menunggang gajah, dia membuat keputusan untuk kembali ke Surin.
Gembala tersebut, Napalai Mai-ngam memberitahu akhbar Bangkok Post bahawa dia dan saudara-maranya datang untuk bekerja di resort Tambon Lam Huay Yai, Pattaya lima tahun lalu bersama lima ekor gajah.
Sebelum ini, mereka meraih pendapatan 75,000 baht (RM9,856) sebulan termasuk tip diberikan pelancong yang menaiki haiwan itu.
Bagaimanapun, selepas Thailand menutup sempadannya berikutan pandemik Covid-19, pelancong China tidak lagi mengunjungi resort tersebut, manakala majikan Mai-ngam terpaksa memotong gajinya.
Biarpun Thailand memulakan program vaksinasinya, aktiviti pelancongan seperti kem gajah tidak akan kembali beroperasi dalam masa terdekat.
Mai-ngam dan keluarganya terpaksa menerima realiti itu dan memulakan perjalanan jauh untuk pulang ke Surin.
Bagi mengelak matahari terik, mereka akan berjalan awal pagi ketika cuaca masih sejuk dan berharap jalan-jalan tepi hutan yang dilalui selepas keluar dari Pattaya boleh memberi peluang kepada gajah-gajah itu untuk makan.
Keluarga itu menolak wang derma daripada orang ramai kerana enggan perjalanan jauh itu dianggap sebagai publisiti murahan.
Mai-ngam bagaimanapun berterima kasih kepada orang awam yang memberikan air, buah-buahan dan juga makanan kepada mereka sekeluarga. – Agensi