fbpx

City patut raih lebih banyak gol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE BRUYNE (kanan) berjaya membuka tirai jaringan apabila meledak gol pada minit ke-19 ketika mereka menewaskan Dortmund awal pagi semalam. – AFP

MANCHESTER – Bintang Manchester City, Kevin De Bruyne mengakui bahawa pasukannya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol untuk menjamin kedudukan selepas sekadar meraih kemenangan 2-1 ke atas Borussia Dortmund pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

De Bruyne berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-19 aksi di Etihad tetapi Marco Reus memadam kelebihan itu dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-84 sebelum Phil Foden berjaya membantu kemenangan City menerusi gol pada minit ke-90.

“Mereka bermain dengan baik. Ia memberikan kami masalah dan saya fikir kami gagal mencipta peluang pada babak pertama, namun separuh masa kedua kami mula mempamerkan ­penguasaan.

“Kami sepatutnya menja­ringkan lebih banyak gol. Ketika mereka menjaringkan gol pe­nyamaan, ia adalah sesuatu yang memalukan tetapi itu berlaku. Saya fikir reaksi kami selepas itu lebih baik apabila berjaya mendapatkan gol kedua.

“2-1 bukanlah keputusan yang menyenangkan kami tetapi sekurang-kurangnya City beraksi di suku akhir kedua dengan memiliki kelebihan itu,” katanya.

Kejayaan Reus meledak gol pada aksi di Etihad itu menyaksikan rekod aksi tanpa bolos The Citizens dalam tempoh 788 minit bagi saingan Liga Juara-Juara.Namun, mereka percaya bahawa mampu untuk mara ke pentas separuh akhir saingan musim ini dengan sekurang-kurangnya mendapat keputusan seri di ­Signal Iduna Park minggu depan.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu hanya mengalami tiga kekalahan musim ini dan kali te­rakhir pada November lalu.

City ketika ini masih kekal dengan misi untuk memburu empat kejuaraan musim ini selepas mara ke pentas final Piala Liga Inggeris, berada di separuh akhir Piala FA dan muncul pendahulu Liga Perdana Inggeris ketika ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI