MANCHESTER – Pemain sayap Borussia Dortmund, Jude Bellingham mengakui kecewa dengan keputusan pengadil yang menafikan gol dijaringkan ketika tewas 1-2 kepada Manchester City pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Ketika City mendahului 1-0 menerusi jaringan Kevin De Bruyne, Bellingham berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-37, namun dia dipersalahkan kerana didakwa mengasari penjaga gol City, Ederson.
Bellingham berkata, dia berjaya mendapatkan bola secara ‘bersih’ sebelum melakukan larian ke arah pintu gol City tetapi pengadil menghadiahkan sepakan percuma buat pasukan tuan rumah.
“Apa yang pasti, saya mendapat bola secara bersih. Sudah tentu ia sangat mengecewakan apabila pengadil memberhentikan perlawanan kerana mendakwa saya melakukan kekasaran.
“Bagaimanapun, inilah bola sepak. Saya perlu akur dengan keputusan yang dilakukan. Mereka (pengadil) sepatutnya membiarkan saya menjaringkan gol terlebih dahulu dan memeriksanya kemudian,” kata Bellingham.
Selain De Bruyne, Phil Foden turut mencetak nama selaku penjaring selepas meledak gol kemenangan, sementara gol Dortmund dijaringkan Marco Reus.
“Dia (De Bruyne) adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Saya kagum dengan kesungguhan yang ditampilkan, terutamanya ketika cuba mendapatkan balik bola,” ujar Bellingham. – AGENSI