BANDAR RAYA NEW YORK – Kira-kira 40,000 kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) kehilangan sekurang-kurangnya ibu atau bapa mereka akibat pandemik Covid-19, demikian menurut satu kajian baharu seperti laporan akhbar New York Post kelmarin.
Golongan remaja didapati mangsa terbesar menjadi yatim atau yatim piatu akibat penularan wabak maut itu sejak setahun lalu.
Pasukan penyelidik daripada Universiti Stony Brook menerbitkan penemuan mereka dalam penerbitan JAMA Pediatrik yang menyebut bahawa 37,300 kanak-kanak dan remaja di bawah umur 17 tahun kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 setakat Februari 2021.
“Malangnya, berlaku lonjakan kematian sejak Februari lalu. Justeru, saya menganggarkan pertambahan yang lebih hari ini,” kata penulis kajian tersebut, Rachel Kidman kepada saluran berita Fox News.
Angka katanya, menunjukkan peningkatan 20 peratus berbanding jumlah anak yang kematian ibu bapa pada tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19.
“Kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa berisiko tinggi mengalami kesedihan teruk, kemurungan di samping pendidikan mereka terjejas. Mereka juga berdepan kecenderungan untuk bunuh diri dan ia boleh berterusan hingga dewasa,” demikian menurut kajian itu.
Sementara itu, kajian sama menunjukkan bahawa bilangan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa di AS akan meningkat hampir tiga kali ganda kepada 116,900 orang sekiranya kempen vaksinasi tidak dilakukan berdasarkan peningkatan kadar kematian 1.5 juta orang. – Agensi