fbpx

Tiga kawasan di Sarawak dikenakan PKPD, satu dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Tiga kawasan di Sarawak iaitu, Penjara Sri Aman, Kuarters Kakitangan Sri Aman dan Kampung Serpan Laut, Asajaya, Bahagian Samarahan, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlaksanaan PKPD di tiga lokaliti sehingga 21 April depan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh tujuh hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

Beliau berkata, bagi kawasan penjara dan kuartes kakitangan di Sri Aman, KKM telah melaksanakan 482 ujian saringan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 289 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan 279 orang tahanan, lapan petugas penjara dan dua ahli keluarga kakitangan penjara.

“Sementara itu, bagi Kampung Serpan Laut, Asajaya, KKM telah melaksanakan 62 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak lima kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan akan melanjutkan tempoh PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian, sehingga 23 April depan.

Menurut beliau, PKPD di kampung berkenaan dijadualkan tamat Jumaat ini, namun KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta terdapat kes baru yang dikesan dalam kalangan komuniti di kampung itu.

“Sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan, KKM telah melaksanakan 485 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 95 kes positif Covid-19 direkodkan,”ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI