PONTIAN – Percubaan dua pemuda di Kampung Melayu, Pontian Besar di sini menternak kambing sebagai hobi membuahkan hasil apabila kini menjadi pendapatan utama mereka.
Irwan Shah Salleh, 30, dan Nur Khairul Azam Abu Kassim, 28, kini memiliki ladang ternakan sendiri dikenali sebagai Mexico Farm seluas 1.6 hektar di atas tanah milik datuknya.
Menurut Irwan Shah, mereka bermula dengan menternak tiga ekor kambing sebelum membuka ladang ternakan sehingga dia sanggup berhenti kerja sebagai pegawai penyiasat insurans di Kuala Lumpur tahun lalu.
“Saya pulang ke kampung pada 2016 untuk menjaga ibu yang kurang sihat selepas lapan tahun merantau sejak berusia 18 tahun dengan pendapatan RM5,000 sebulan.
“Sepanjang tempoh itu, saya melakukan pelbagai pekerjaan sebelum menternak kambing pada tahun lepas bersama Nur Khairul Azam,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, mereka dibantu oleh bapa saudaranya, Mustafa Robani, 54, yang memberikan modal RM60,000 untuk membersihkan belukar dan membina kandang kambing.
Menurut Irwan Shah, selepas setahun, dia kini mempunyai 42 ekor kambing daripada jenis boer, jamnapari, biri-biri dan saanen.
“Ladang kami juga menghasilkan produk tenusu iaitu susu kambing segar selain daging kambing. Kami turut menyediakan kambing untuk majlis akikah dan keraian,” katanya.
Ujar Irwan Shah, perancangan mereka ialah membesarkan ladang untuk menambah bilangan ternakan hingga mencapai 200 ekor.
“Ladang itu berdekatan dengan Sungai Pontian Besar dan kami turut menjaring ikan atau udang menggunakan bot.
“Kami berhasrat untuk menjadikan kawasan ini dengan aktiviti ekopelancongan termasuk membangunkan sebuah restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan berasaskan daging kambing segar dari ladang,” ujarnya. -K! ONLINE