KOTA BHARU – Hasrat seorang peniaga wanita untuk memandu kenderaan mewah pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard tidak kesampaian apabila dia mengalami kerugian sebanyak RM39,000 selepas diperdaya menerusi urusan jual beli secara dalam talian pada minggu lalu.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Tanah Merah tertarik untuk membeli MPV keluaran tahun 2018 itu selepas melihat satu akaun Facebook yang menjual kenderaan terpakai dari Singapura secara ansuran bulanan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa telah menghubungi seorang lelaki yang mengatakan bahawa merupakan penjual kereta itu melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, lelaki itu telah meminta agar mangsa membuat bayaran sebanyak RM17,000 bagi tujuan insurans, cukai jalan dan urusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Selepas itu, mangsa telah membuat beberapa transaksi bayaran ke satu akaun bank tempatan yang kononnya milik pekerja kepada suspek pada 1 April lalu.
“Keesokan harinya, seorang wanita yang mengaku pekerja kepada suspek penjual telah menghubungi mangsa dan meminta bayaran sebanyak RM7,000 ke akaun bank sama bagi tujuan pendaftaran dan kos penghantaran kenderaan tersebut,” katanta ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Ahmad Azizul, dalam hari yang sama, wanita itu sekali lagi meminta mangsa membuat bayaran deposit sebanyak RM15,000 ke satu akaun bank lain.-K! ONLINE