KUALA TERENGGANU – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok seludup pelbagai jenama bernilai keseluruhan RM605,869.40 termasuk duti cukai dalam dua serbuan berasingan di Setiu dan Marang pada akhir bulan lalu.
Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, serbuan pertama berjaya menemui 2,540 karton rokok pelbagai jenama disyaki seludup di pesisir Pantai Lembah Bidong, Setiu pukul 1 pagi, 31 Mac lalu.
“Serbuan itu berjaya merampas 2,540 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM66,040 selain duti cukai berjumlah RM341,884.
“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan sedang memindahkan bekalan rokok belum kastam itu ke dalam sebuah lori setelah dipercayai mengambilnya dari sebuah kapal di tengah laut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KDRM Terengganu di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Latif memberitahu, serbuan kedua yang dilakukan di sebuah rumah kedai di Kampung Pak Madah, Marang pada sembilan jam kemudian berjaya merampas 239,120 batang rokok seludup.
Beliau berkata, kesemua rokok belum lulus Kastam yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM33,778.40 dan melibatkan duti cukai RM161,167.
“Dua lelaki berusia 20-an dan 40-an yang dipercayai pemilik dan pekerja premis penyimpanan rokok seludup itu turut berjaya diberkas dalam serbuan berkenaan,” katanya. – K! ONLINE