IPOH – Perak FC bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menumpaskan UiTM FC 3-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak sebentar tadi.
Kemenangan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan penyokong Bos Gaurus berikutan kekalahan 1-2 kepada Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Lebih penting kemenangan itu mengikis tanggapan buruk terhadap pasukan Yob yang dipalit isu tunggakan gaji.
Pada perlawanan tadi, tuan rumah tidak dapat menurunkan kapten, Shahrul Saad gara-gara kecederaan.
Shakir Hamzah diberi tanggungjawab sebagai bek tengah dan digandingkan bersama Mohamad Idris Ahmad dan Danish Haziq.
Perak menguasai permainan dan berjaya mencipta beberapa peluang tetapi Guilherme De Paula dan Careca gagal menyudahkan dengan baik.
Sebaliknya UiTM FC mengejutkan tuan rumah apabila mendahului melalui jaringan penalti oleh Nana Poku pada minit ke-19.
Poku kemudian meletakkan UiTm 2-0 apabila menewaskan perangkap ofsaid tuan rumah dan mudah menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pada minit ke-39.
Bagaimanapun, Careca merapatkan jurang apabila melepaskan rembatan ketika kekalutan berlaku di dalam kotak penalti pasukan pelawat sejurus sebelum babak pertama berakhir.
Babak kedua menyaksikan kebangkitan Perak yang melancar serangan Dan usaha mereka berhasil apabila mendapat sepakan penalti selepas Leandro Dos Santos dijatuhkan dalam kotak penalti.
De Paula tidak membuat kesilapan untuk menyamakan kedudukan pada minit 66.
11 minit kemudian rembatan leret Careca gagal diselamatkan penjaga gol UiTM , Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri untuk Perak FC meraih kemenangan. K! ONLINE.