ALOR SETAR – Pekerja sebuah kilang di Pokok Sena sini didapati hidup dalam keadaan tidak selesa dan kotor dengan ada sebilangan daripada mereka terpaksa menjadikan ruang kecil sebagai bilik tidur.
Keadaan itu terbongkar selepas Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri melakukan operasi penguatkuasaan bersepadu di asrama pekerja kilang papan lapis tersebut, hari ini.
Pemeriksaan mendapati ruang kecil yang dibina dengan papan lapis berukuran kira-kira 2.5 meter panjang dan lebar 1.5 meter itu adalah bilik kelamin didiami pasangan suami isteri.
Pengarah JTK negeri, Arzanil Bahadon berkata, hasil pemeriksaan mendapati pihak majikan gagal menyediakan kemudahan asas seperti yang termaktub di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
Katanya, kilang tersebut mempunyai seramai 2,313 pekerja terdiri daripada 1,090 pekerja tempatan dan 1,223 warga asing.
“Walau bagaimanapun pemeriksaan mendapati asrama pekerja tidak memiliki tandas sempurna serta mencukupi untuk menampung bilangan pekerja yang tinggal di situ.
“Kita juga mendapati mendapati saiz bilik juga tidak mengikut garis panduan yang dikehendaki, malah terdapat pasangan kelamin turut tinggal di blok yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – K! ONLINE