JOHOR BAHRU – Pelakon, Noryati Taib atau lebih lebih terkenal dengan gelaran ‘Mak Cik Petir’ merancang berkumpul dengan kesemua adik beradik untuk berbuka puasa bersama-sama pada hari pertama Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Bagaimana pun hasrat pelakon drama berusia 63 tahun itu tidak kesampaian setelah menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada pukul 1.45 pagi di rumahnya di Taman Air Biru, Pasir Gudang, hari ini.
Menurut anaknya, Faizul Hafiz Hashim, 36, hasrat itu disuarakan ibunya selepas keluarkan dari unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada 27 Februari lalu setelah mengalami komplikasi buah pinggang.
“Kebiasaannya, seluruh keluarga kami akan berkumpul untuk berbuka puasa beramai-ramai di rumah pusaka di Kampung Sulaiman Menteri, di sini setiap tahun.
Disebabkan faktor kesihatan yang sukar untuk bergerak selepas kaki dipotong pada 2017 lalu akibat diabetes, dia berhasrat membuat majlis itu di rumahnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di sini, hari ini.
Anak ketiga pelakon itu memberitahu, di hujung usia ibunya, arwah kerap ‘berleter’ meninggalkan pesanan kepada mereka empat beradik.
“Arwah mama memang suka berpesan, dia punya ‘leteran’ memang kita rindu. Setiap hari dia berpesan supaya jangan sakitkan hati orang, jangan menipu dan berbaik dengan masyarakat, dan jiran tetangga,” katanya.
Mengulas lanjut, peniaga itu berkata, ibunya mengadu tidak sedap badan pada kira-kira 12 tengah malam tadi sebelum sesak nafas.
Noryati menghembuskan nafas terakhir di sisi suami, Hashim Mohd. Yusoff, 65 dan anak bongsu, Ezzahani Hashim, 31 pada pukul 1.45 pagi.
Terdahulu, Jenazah Noryati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh pada pukul 11.30 pagi selepas dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Al-ittihad Perjiranan 9 Taman Air Biru, Pasir Gudang.-K! ONLINE