SYDNEY – Kebanyakan orang ada mengambil ubat parasetamol pada suatu masa sama ada untuk melegakan sakit kepala atau sakit belakang.
Bagaimanapun, sekumpulan penyelidik mendedahkan bahawa ubat tersebut hanya berkesan sama seperti pil plasebo untuk merawat penyakit biasa dan demam, demikian lapor akhbar The Sun kelmarin.
Plasebo merujuk kepada ubat atau rawatan yang kelihatan seperti asli tetapi tidak mengandungi bahan aktif atau sebenarnya tidak berkesan untuk merawat sesuatu penyakit.
Pakar-pakar memberi nasihat supaya ubat paracetamol tidak digunakan untuk menghilangkan sakit belakang.
Sekumpulan pakar di Australia mendapati ubat tahan sakit paling biasa didapati itu amat tidak berkesan apabila diambil untuk melegakan sakit belakang akut.
Menulis dalam penerbitan Medical Journal of Australia, kumpulan penyelidik berpusat di Universiti Sydney itu berkata, parasetamol berupaya memberi kelegaan kepada segelintir simptom kesakitan sahaja.
“Di sebalik penggunaan parasetamol yang meluas, keberkesanan ubat tersebut dalam melegakan kesakitan terbukti dalam hanya segelintir situasi manakala manfaatnya adalah sederhana.
“Bukti menunjukkan paracetamol ( biasanya 0.5 hingga 1 gram) , dos tunggal atau berbilang, didapati lebih berkesan berbanding ubat plasebo dalam melegakan rasa sakit hanya untuk 44 keadaan kesakitan yang telah diuji” kata kumpulan penyelidik tersebut.
Mereka mengkaji kesan parasetamol berbanding ubat plasebo membabitkan 50 kesakitan biasa.
Daripada 50 keadaan kesakitan biasa tersebut, mereka mendapati osteoarthritis lutut dan pinggul, sakit kepala, kraniotomi (apabila tulang tengkorak dibuang ) dan sakit perineal selepas bersalin dapat dilegakan menggunakan ubat tersebut.
Parasetamol jarang mengakibatkan kesan sampingan apabila diambil dengan dos yang betul.
Pakar-pakar tersebut menyatakan bahawa penemuan itu ‘tidak mencukupi’ untuk mengesahkan sama ada paracetamol berupaya membantu melegakan kesakitan biasa yang lain.
Ini termasuk kesakitan akibat prosedur gigi, jangkitan telinga kanak-kanak, sakit belakang, sakit perut, demam, sakit kepala dan kesakitan pasca pembedahan.
Penulis kajian, Dr Christina Abdel Shaheed berkata, parasetamol adalah lebih berkesan untuk sakit kepala berbanding ubat plasebo lain.
“Bagaimanapun, untuk keadaan lain kami kekurangan bukti untuk membuat kenyataan kukuh mengenai keberkesanan parasetamol,” katanya.
Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) menyatakan bahawa parasetamol boleh digunakan untuk merawat kesakitan di samping mengurangkan suhu badan tinggi.
Bagaimanapun, penulis-penulis kajian tersebut mencadangkan supaya doktor tidak memberikan ubat tahan sakit itu untuk melegakan sakit belakang
Ini kerana kajian terbaharu jelas menunjukkan parasetamol tidak berkesan menghilangkan rasa sakit itu dan trend memakan ubat tersebut tanpa kesan positif perlu dihentikan. – Agensi