fbpx

JDT II menang tipis 1-0 atasi PDRM FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kei Hirose (kiri) diasak oleh pemain pertahanan PDRM FC, Mohammad Syuhiran Zainal pada aksi Liga Perdana Stadium Larkin, Johor Bahru malam ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Jaringan tunggal Fernando Rodriguez pada awal permainan memberikan tiga mata buat Johor Darul Ta’zim II (JDT II) apabila menang tipis 1-0 ke atas PDRM FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin malam ini.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan kendalian Rafael Sanchez melonjak ke tangga kedua mengutip 13 mata menerusi enam perlawanan, satu mata di belakang pendahulu liga, Negeri Sembilan FC.

Jaringan tunggal perlawanan hadir pada minit kelima berpunca gerakan Stuart Wilkin yang menyusup dari sayap kiri sebelum melorong bola kepada Rodriguez untuk menolak masuk bagi meletakkan pasukan di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, The Cop kembali mengatur gerakan dan hampir menyamakan kedudukan tiga minit berselang.

Peluang itu hadir menerusi sepakan sudut pada minit kelapan namun tandukan pemain pertahanan, L. Kalaiharasan itu jauh tersasar.

Pada minit ke-15, Fernando hampir menambah jaringan buat JDT II namun percubaannya kali ini sedikit tersasar.

Fernando sekali lagi dihidangkan dengan peluang keemasan untuk melebarkan jaringan menerusi hantaran lintang Syazwan Andik Mohd. Ishak tetapi tandukan padunya tepat ke dangkapan penjaga gawang, Hamka Daud.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan membuat pertukaran pemain bagi memastikan tempo permainan pantas dapat diteruskan.

Kedua-dua pasukan saling bertali arus mengasak kubu lawan untuk mencipta jaringan namun ketumpulan penyudah yang baik menyaksikan tiada jaringan direkodkan pada babak kedua.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan JDT II mengekalkan rekod 100 peratus menang di tempat sendiri.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI