GEORGE TOWN – Remaja orang kelainan upaya (OKU) fizikal, Iznul Hakim Mohd. Nor akan menjalani satu pembedahan pada tulang bawah mata di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada pukul 8 pagi esok.
Iznul, 21, masih menerima rawatan di wad hospital berkenaan sejak dimasukkan ke situ pada Khamis lalu.
Kakak sulungnya, Izzati Haswani, 26, berkata, keadaan muka Iznul masih bengkak manakala penglihatannya juga dikatakan kabur kemungkinan disebabkan kesan kecederaan yang dialaminya.
“Doktor memaklumkan yang dia (Iznul) akan menjalani pembedahan tulang bawah mata yang retak pada pagi esok.
“Hari ini sahaja sudah tiga kali dia mengalami sawan tarik. Saya sedih melihat keadaan kesihatannya,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Izzati menambah, ahli keluarga pemandu kereta jenis Suzuki Swift yang didakwa memukul Iznul sebelum maut akibat kemalangan jalan raya ada bertemu dengan bapanya semalam.
“Keluarga si mati memaklumkan yang depa (mereka) juga tidak sangka kejadian itu berlaku dan menyifatkan si mati seorang yang baik.
“Depa pun tak tau (tidak tahu) punca si mati bertindak memukul adik saya,” ujarnya yang keluarganya juga masih buntu dengan kejadian berlaku.
Khamis lalu, suspek berusia 30 tahun itu dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengah-Bayan Baru kira-kira pukul 2.50 petang.
Sebelum kemalangan, suspek bertindak menyerang dan memukul seorang remaja OKU di sebuah kedai bundle di Sungai Tiram, dalam kejadian pada pukul 2.30 petang. – K! ONLINE