fbpx

Imej Hasanah tiada dalam rakaman CCTV di JPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasanah (dua dari kiri) bersama-sama barisan peguam bela yang mewakilinya pada perbicaraan kesnya hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, imej bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid tidak ditemui dalam fail televisyen litar tertutup (CCTV) yang dirakam di Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, tiga tahun lalu.

Rakaman video tersebut diperolehi oleh pasukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menyiasat kes pecah amanah wang US$12.1 juta (RM50.4 juta) melibatkan Hasanah yang ketika itu berjawatan Ketua Pengarah Penyelidikan JPM.

Penguasa Kanan Bahagian Teknologi Forensik SPRM, Badri Azni berkata, video sebanyak 163 fail itu dirakam pada 30 April 2018 dan 9 Mei 2018 di kawasan ruang legar lobi lif tingkat tujuh Blok B4 yang menempatkan pejabat Hasanah dan timbalan-timbalannya.

Ketika ditanya oleh peguam Muhammad Ashraff Mohd. Diah pada sesi pemeriksaan balas, saksi pendakwaan kelapan itu berkata, berdasarkan beratus-ratus fail yang diperiksanya, tiada imej Hasanah kelihatan dalam mana-mana rakaman CCTV tersebut.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal pada pemeriksaan utama, pegawai forensik SPRM itu berkata, dia pergi ke Bahagian Penyelidikan JPM pada 3 September 2018 setelah diminta oleh pasukan siasatan mendapatkan rakaman CCTV tersebut.

Rakaman berdurasi hampir satu jam itu yang dimainkan di hadapan Hakim Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menunjukkan pergerakan beberapa individu keluar masuk lif sambil menarik bagasi di sekitar aras tujuh yang menempatkan pejabat Hasanah (ketika itu).

Sementara itu, seorang bekas polis bantuan di Blok B, Bahagian Penyelidikan JPM berkata, individu-individu yang keluar masuk lif seperti yang kelihatan dalam video yang dimainkan di mahkamah, merupakan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang bertugas di situ.

Norrashid Mahmud, 59, memberitahu mengenali mereka dan para pegawai serta kakitangan di situ kerana telah bertugas selama 20 tahun sebelum bersara pada 20 Oktober tahun lalu.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Hasanah yang didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik Kerajaan Malaysia.

Tertuduh, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan JPM melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI