SEBERANG PERAI – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang mengambil langkah awal dengan segera untuk mencegah hakisan tebing Sungai Kerian di Nibong Tebal di sini sebelum menjadi lebih buruk.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, tinjauan pihaknya mendapati banyak struktur tebing yang semakin terhakis dipercayai kerana pelbagai punca.
Beliau berkata, pihak berkaitan perlu mengkaji dan meneliti kesemua punca dan mengambil tindakan wajar untuk memitigasi dan mencegah masalah itu daripada semakin buruk.
“Menurut beberapa nelayan dan pemancing, mereka mendakwa ia berpunca kerana alun dari bot-bot besar yang berulang alik menyelusuri sungai ke pelantar pendaratan ikan di Jalan Ban Sungai Tok Tuntong, Nibong Tebal.
“Beberapa kolam ternakan akuakultur yang begitu hampir dengan tebing sungai juga dikatakan antara puncanya selain sisa buangan kolam yang dialir ke dalam sungai menyebabkan kemerosotaan kualiti air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa sepatutnya turun padang untuk mengenal pasti sama ada dakwaan tersebut berasas dan merungkai masalah yang diutarakan itu.
“Sepanjang tinjauan SAM juga, kami melihat bot besar yang membawa muatan menuju ke bangunan pendaratan ikan berkenaan.
“Jelas kelihatan alun dari bot besar mampu menyebabkan hakisan yang lebih serius sekiranya tiada penghadang semulajadi atau tembok penahan yang kukuh bagi mengelakkan berlakunya runtuhan tebing sungai,” katanya lagi.
Sementara itu, Meenakshi berkata, pembangunan dan aktiviti yang tidak terkawal sama ada secara sah atau tidak juga boleh menyebabkan tebing sungai menjadi tidak stabil. – K! ONLINE