KEPANASAN isu buli membabitkan selebriti terkenal pada zaman persekolahan masih belum berakhir. Terbaharu, nama penyanyi Park Cho-rong pula terkait isu sama.
Anggota kumpulan Apink itu didakwa pernah menjadi pembuli sekitar 2008. Dia dikatakan pernah menyepak dan menerajang seorang mangsa yang dikenali sebagai ‘A’.
Memberi maklum balas terhadap laporan media membabitkan artis naungan mereka, agensi Play M Entertainment bertegas tuduhan tersebut bertujuan menjatuhkan reputasi Cho-rong.
“Park Cho-rong pernah berdepan dakwaan sama dan kebenaran sudah terbukti. Tetapi nampaknya individu bernama Kim ini tidak berhenti menyebarkan berita palsu.
“Kami akan menggunakan bukti-bukti sedia ada untuk membawa kes ini ke muka pengadilan,” katanya.
Beberapa hari lalu, Cho-rong diancam seorang kenalan lamanya dikenali sebagai Kim yang mengugut untuk menyebarkan finah tentangnya.