PELAKON Angel Lelga terharu dan bangga apabila diberi gelaran Dewi Kecantikan Indonesia oleh netizen di Indonesia.
Netizen di negara republik itu terutama dalam kalangan peminatnya memberikan gelaran tersebut kepada Angel kerana menilai perubahan wanita berusia 36 tahun itu telah berubah menjadi semakin cantik dengan kulit yang lebih putih dan bersinar.
“Alhamdulillah kerana memberikan gelaran tersebut kepada saya. Pada mulanya saya terkejut kerana banyak yang menghantar mesej dalam Instagram (DM) dan memberikan gelaran Dewi Kecantikan Indonesia kepada saya.
“Saya juga ada membaca beberapa artikel yang juga menyebut gelaran sedemikian,” ujar Angel.
Kata pelakon yang pernah membintangi filem Bisikan Arwah Mantan itu lagi, pujian dan sokongan yang diterima daripada peminatnya meningkatkan motivasi dalam dirinya.
Bagaimanapun, Angel berpendapat kecantikan seharusnya tidak dilihat daripada luaran sahaja, sebaliknya perkara itu perlu dinilai daripada pelbagai aspek seperti moral dan tingkah laku.