SEREMBAN – Cabaran masa kini menjadikan peranan Universiti Awam dalam membentuk kepimpinan mahasiswa adalah amat penting dan utama.
Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bertitah, USIM dilihat kekal utuh menjalankan peranannya terutama sebagai agen pembangunan kepimpinan mahasiswa dan terus komited untuk melahirkan insan berilmu mendokong integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
“Ini selaras dengan misi USIM 2022 iaitu menjadi sebuah universiti sains Islam glokal berimpak tinggi. Beta yakin pengalaman kamu di USIM telah mendedahkan kamu dengan ilmu pengetahuan dan pembentukan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing,” titahnya sempena Majlis Konvokesyen ke-18 USIM (Sidang Pertama) di Dewan Tuanku Canselor, di sini, tadi.
Turut hadir Pro Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin.
Pada majlis berkenaan, Tuanku Aishah Rohani telah berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat kepada Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Perubatan dan Hassan Scott Odierno dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Aktuari.
Seramai 2,686 graduan USIM yang tertangguh majlis konvokesyen mereka pada tahun lalu kerana pandemik Covid-19 diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-18 USIM bermula 6 hingga 18 April ini
Dilaksanakan dalam 23 sesi sepanjang tempoh tersebut, majlis konvokesyen USIM yang mengangkat tema Sambutan 20 tahun USIM iaitu ‘Berjasa, Berbudi Untuk Semua’ kali ini unik kerana dilaksanakan secara hibrid selari dengan normal baharu.
Para graduan akan menerima ijazah masing-masing secara berperingkat dalam Majlis Konvokesyen yang diaturkan secara temu janji mulai 7 hingga 18 April dengan jumlah kehadiran minima bagi setiap sesi yang ditetapkan dengan rakaman gambar graduan menerima skrol diambil menggunakan teknik skrin hijau.
Bagi Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Wan Nur Ira Izyan Izani, graduan Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Nur Ain Hannani Hamid, graduan Sarjana Muda Sains dengan kepujian (Bioteknologi Makanan) dari Fakulti Sains dan Teknologi.
Turut menerima anugerah dari DYMM Tuanku Canselor ialah Iskandar Zulkarnain Shamsul, graduan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dari Fakulti Syariah Undang-Undang serta graduan Doktor Falsafah Sains dan Teknologi dari Fakulti Sains dan Teknologi, Mohd Ilias M. Shuhud menerima Anugerah Canselor.
Anugerah utama baharu iaitu Anugerah Lembaga Pengarah Universiti dinobatkan kepada graduan Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko dari Fakulti Sains dan Teknologi, Raih Salsabila.
Manakala, Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Ahmad Anwaar Muhammad Saifullah.
Majlis konvokesyen kali ini turut meraikan 33 graduan sulung dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan iaitu Ijazah Sarjana Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian dan seorang graduan bagi Doktor Falsafah Undang-undang.
Sehingga ke Majlis Konvokesyen ke-17 USIM seramai 22,669 alumni dalam pelbagai bidang pengajian dan kepakaran telah dilahirkan.-K!ONLINE