PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) berjaya melumpuhkan satu sindiket terbesar yang terlibat dalam pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang melibatkan kerugian kepada hasil kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing mencecah ratusan juta ringgit.
Lima orang termasuk ketua sindiket yang bergelar Datuk telah ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar ibu negara sejak awal pagi tadi.
Kesemua berusia antara 33 tahun hingga 43 tahun telah ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh SPRM dan JIM sejak setahun yang lalu.
Menurut sumber, sindiket dengan kerjasama ‘orang dalam’ itu telah berjaya menggodam pangkalan data JIM dengan memasang transmiter untuk membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat JIM.
Katanya, ia merupakan suatu pencerobohan ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.
“Keupayaan ahli-ahli sindiket menggodam sistem komputer JIM membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini.
“Dianggarkan ratusan ribu PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 bagi setiap PLKS,” katanya.
Menurut sumber, isu itu pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.
“Modus operandi sindiket ialah menggodam sistem imigresen dengan memasang transmiter di bilik komputer JIM hasil kerjasama orang dalam,” katanya.
Tambahnya, sindiket itu berupaya menggodam, menukar dan menggunakan kata laluan pegawai-pegawai imigresen untuk memasukkan nama-nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah sedangkan ianya hasil tindakan penggodaman sistem JIM.
“Lebih menggerunkan di mana, sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status senarai hitam atau ‘red alert’ seseorang individu untuk membolehkan mereka melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu.
“Kesemua operasi dilakukan di luar pejabat imigresen menggunakan transmiter dan sistem yang diklonkan dari pangkalan data imigresen,” katanya.
Sumber berkata, serbuan semalam berjaya merampas peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmiter yang digunakan sindiket.
Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
“Mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau menegaskan bahawa siasatan ke atas kes itu akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk orang dalam dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Pada masa sama, SPRM memuji ketegasan Ketua Pengarah JIM kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes ini.-K!ONLINE