HADIR dengan estetika gaya individual dan kekuatan jumlah peminat atau pengikut di media sosial, Sherry Alhadad Syomirizwa Gupta baru-baru ini mengumumkan kolaboratif fesyen mereka yang dinamakan Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta sekali gus menjadi koleksi Sherry yang pertama.
Dengan rekaan menyasarkan wanita-wanita bersaiz besar dan diinspirasikan daripada kekuatan serta keyakinan diri, koleksi yang sesuai digayakan pada lebaran yang bakal menjelang ini menampilkan lapan rekaan baharu hasil daripada idea-idea gabungan dua figura yang begitu berpengaruh dalam industri masing-masing itu.
Jenama Syomirizwa Gupta diusahakan pereka fesyen, Syomir Izwa yang sudah 17 tahun berpengalaman dalam bidang fesyen.
“Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta ialah surat cinta kami buat semua peminat dan mereka yang mengikuti perjalanan kerjaya kami berdua sejak awal penglibatan dalam industri.
Kami sebenarnya telah lama bercadang untuk bekerjasama dan projek ini bagaikan rancangan yang begitu sempurna untuk direalisasikan. Lebih-lebih lagi dengan situasi dunia yang begitu menekankan,” kata Sherry.
Syomirizwa Gupta ialah jenama yang tepat untuk bekerjasama dengan Sherry berikutan penglibatan rasminya sebagai jenama fesyen digayakan Sherry sewaktu mula menceburi bidang seni.
Sherry berpendapat, koleksi itu membawakan mesej positif buat semua wanita tidak kira bagaimana jua bentuk badan dan paras rupa.
“Kita seharusnya berbangga dengan diri sendiri dan menggunakan segala peluang yang ada. Kecantikan itu amat subjektif dan saya amat berbangga kerana dapat menjadi inspirasi dan idola kepada ramai wanita yang kurang berkeyakinan tentang bentuk badan mereka.
“Saya amat berbangga dengan hasil kerjasama ini dan ia merupakan petanda yang positif bagi perjalanan saya di dalam bidang fesyen secara profesional. Sebagai mana dia merupakan peminat saya, saya juga adalah peminat hasil kerja Syomir dan jenamanya yang sangat mementingkan diversiti dan inklusiviti.
Dia adalah antara orang yang pertama memberikan saya keyakinan untuk bereksperimen dengan fesyen,” katanya.
Berkat kerja keras, personaliti yang mesra dan mudah didekati, nama Sherry makin harum dalam industri seni tanah air.
Penglibatannya di dalam industri fesyen bukanlah suatu yang mengejutkan.
Syomir pula amat berbesar hati atas kerjasama dengan Sherry ini sekali gus berpeluang melancarkan koleksi untuk semua wanita bersaiz besar pada ukuran antarabangsa.
Dikenali dengan penggunaan warna-warna primer dan corak grafik yang menyerlah dalam setiap rekaannya, Syomir, sebagai pemilik dan pengarah kreatif jenama Syomirizwa Gupta ini sekali lagi telah membawa elemen-elemen berkenaan dalam koleksi Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta.
“Ramai yang tidak mengetahui bahawa Sherry berasal dari Sarawak. Dia ada bercerita tentang tradisi beraya di Kuching di mana Hari Raya disambut begitu meriah dan umat Islam yang menyambutnya perlu memakai persalinan penuh Aidilfitri selama tujuh hari tujuh malam.
“Kerana itulah kami membuat keputusan untuk mengeluarkan lapan rekaan bagi koleksi Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta ini.
“Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan kesemua lapan rekaan, ini sudah pasti menyenangkan mereka untuk bergaya terutama pada Aidilfitri nanti. Satu lagi faktor yang amat penting, kami menggunakan fabrik daripada kain kapas, printed rayon sehinggalah mixed crepe.
“Fabrik-fabrik ini bukan sahaja berkualiti yang tinggi, malah menyejukkan dan selesa. Ini penting bagi cuaca negara kita yang agak panas” kata Syomir lagi.
Harga bagi item-item daripada koleksi ini bermula RM349 dengan lingkungan saiz ditawarkan dari 16 sehingga 22. Ia hanya boleh didapati secara pratempahan eksklusif di laman web
www.syomirizwagupta.com bermula 8 Mac lalu.