fbpx

Sekatan Sri Lanka tidak jejas ekonomi sawit negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin (dua dari kiri) menunjukkan coklat premium Havlava oleh LaCrista pada Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Hotel LaCrista Melaka di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

MELAKA – Tindakan Sri Lanka menyekat aktiviti import minyak kelapa sawit dari Malaysia tidak akan menjejaskan industri komoditi negara susulan pasaran eksport telah diperkasakan sehingga ke Afrika dan Timur Tengah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah eksport terus merekodkan peningkatan hasil daripada kepercayaan negara-negara lain terhadap kualiti minyak sawit Malaysia.

Katanya, selain meningkatkan kapasiti eksport untuk pasaran Arab Saudi, kini Malaysia turut menerima permintaan tinggi minyak sawit dari Filipina dan Vietnam.

“Tindakan ini adalah satu diskriminasi yang dicetuskan Sri Lanka dengan mendakwa kononnya Malaysia dan Indonesia menjalankan aktiviti penerbangan hutan, namun sebaliknya kita mempunyai rizab yang besar dan masih menanam sawit.

“Walaupun Sri Lanka melakukan sekatan, namun ia tidak akan menjejaskan industri komoditi negara ini kerana masih banyak lagi negara yang mahukan minyak sawit Malaysia kerana kualiti tinggi bahan mentah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Hotel LaCrista Melaka di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Tambahnya, dakwaan itu sama sekali tidak berasas memandangkan negara turut menubuhkan Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF) sebagai usaha untuk menangani kempen antiminyak sawit.

Mengulas lanjut beliau berkata, Malaysia juga akan membawa perkara tersebut kepada peringkat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan membantah tindakan beberapa negara termasuk di eropah yang melakukan kempen menghentikan import sawit negara.

“Kita akan melakukan kempen secara besar-besaran menyatakan bahawa minyak sawit kita adalah yang terbaik. Minyak sawit kita juga telah mencapai 90 peratus pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Tindakan menganaktirikan ini juga tidak adil, Sri Lanka perlu mendapat maklumat lengkap daripada kerajaan Malaysia sebelum melakukan sekatan itu. Semua minyak sawit dihasilkan berdasarkan konsep kelestarian dan kemampanan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia dan Indonesia serta lima negara pengeluar minyak sawit kini sedang bergerak ke arah industri yang mampu menampung tujuh bilion populasi dunia.

Terdahulu, media antarabangsa semalam melaporkan Sri Lanka menyekat import minyak sawit daripada Malaysia dan Indonesia, selain menghalang pembukaan ladang sawit baharu.

Negara itu dilaporkan sebelum ini memgimport kira-kira 200,000 tan minyak sawit daripada Malaysia dan Indonesia setiap tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI