BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyasarkan sebanyak 12,000 ayam kacuk dijual dalam tempoh setahun menerusi Projek Ternakan Ayam Kampung Kacuk di Kampung Aur, Telong di sini.
Projek itu diterajui oleh sembilan orang penghuni Pusat Pemulihan Negeri Kelantan (PMNK) yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU).
Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr. Noor Azizi Ismail berkata, projek kerjasama PMNK, UMK dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu bermula sejak sebulan lalu dengan permulaan sebanyak 1,500 ayam kampung kacuk.
Katanya, projek fasa pertama itu melibatkan kos sebanyak RM99,800 sumbangan PNB dan dikendalikan oleh Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UMK bersama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (Inspek).
“FPV UMK merupaka fakulti veterinar kedua di negara yang mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarakat berkaitan dengan penternakan haiwan.
“Oleh itu, projek ini diusahakan di bawah inisiatif ‘Inspek Jiwa Asnaf’ yang digerakkan oleh Inspek sebagai salah sebuah institut di bawah UMK,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Dan Lawatan Tapak Projek Ternakan Ayam Kampung Kacuk di Kampung Aur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Noor Azizi, UMK telah membina tiga unit reban dengan setiap satu menempatkan sebanyak 500 anak ayam.
Katanya, dalam tempoh beberapa bulan ini, para peserta akan dibimbing secara teori serta praktikal berkaitan aspek penjagaan ayam secara komersil. – K! ONLINE