fbpx

Penggunaan e-wallet syarat baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosol melawat gerai-gerai jualan pada pelancaran Tapak Pasar Tani Putrajaya di sini, hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Semua peniaga pasar tani dan awam di Putrajaya perlu menggunakan aplikasi e-wallet sebagai salah satu syarat untuk pembaharuan lesen perniagaan di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, syarat berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai usaha bagi memastikan pemain industri sektor peruncitan bersedia menghadapi model perniagaan baharu berkonsepkan pendigitalan.

Katanya, pasar tani Putrajaya dipilih sebagai pelaksanaan fasa pertama Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Insiative-ReDI) dan fasa kedua akan diperluas ke seluruh negara pada Mei.

“Perbadanan Putrajaya (PPj) bersetuju bahawa penggunaan e-wallet akan dijadikan antara syarat untuk pembaharuan lesen meniaga di Putrajaya,” katanya pada majlis pelancaran Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan di Tapak Pasar Tani, Presint 2 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohamed Mustahapa Awang, Setiausaha Bahagian Sosial Ekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan, Danil Taridi Ghazali dan Ketua Penolong Pengarah Kanan  Seksyen Smart City, Perbadanan Putrajaya (PPj), Musabri Shaharom.

Sementara itu, Rosol berkata, KPDNHEP menyasarkan 100 pasar tani dan awam menggunakan kemudahan e-wallet penghujung tahun ini.

Katanya, kementerian berharap dengan sinergi strategik bersama dengan FAMA, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta setiap KPDNHEP negeri, dijangkakan lebih 100 pasar tani dan pasar awam akan turut menyediakan kemudahan e-wallet kepada pengguna.

“Kementerian yakin ia akan memberi satu motivasi kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana lain untuk turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna untuk membayar secara tanpa tunai,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, fokus utama ReDI adalah bagi memastikan 12,844 peniaga di 306 pasar tani dan pasar awam di seluruh negara menyediakan kemudahan e-wallet.

ReDI merupakan sinergi strategik pelbagai agensi kerajaan dan swasta membabitkan KPDNHEP dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP),
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ia turut mendapat kerjasama PPj, FAMA, PBT, Maybank, Touch n Go dan Axiata Berhad. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI