PETALING JAYA – Empat lagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana kerajaan bermula esok hingga 20 April depan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu melibatkan tiga kampung di Hulu Besut, Terengganu dan satu kampung di Nabawan, Sabah.
“PKPD di Hulu Besut melibatkan Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak manakala di Nabawan melibatkan Kampung Murni C.
“Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes positif di tiga kampung di Hulu Besut dan secara kumulatif sebanyak 58 ujian saringan di lokaliti itu telah dijalankan,” katanya di sini tadi.
Katanya, daripada jumlah saringan itu sebanyak enam orang telah disahkan positif Covid-19.
“Bagi Kampung Murni C pula, sebanyak 17 ujian saringan dijalankan dan daripada jumlah itu enam orang telah dilaporkan positif.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” jelasnya. – K! ONLINE