KOTA TINGGI – Seorang warga emas maut selepas kereta Perodua Alza dipandu terbabas ke dalam gaung akibat melanggar babi hutan di kilometer 34 Jalan Lok Heng – Mawai pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.10 pagi.
Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Suhaimi Bahudin, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaannya.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Aping Barat menghala ke Mawai gagal mengawal kenderaan dipandu setelah terlanggar khinzir hutan yang melintas secara tiba-tiba.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE