PETALING JAYA – Seorang wanita warga China kerugian wang tunai sebanyak RM230,000 akibat diperdaya sindiket penipuan skim pelaburan, baru-baru ini.
Mangsa yang berusia 47 tahun itu menyertai satu skim pelaburan dan bertindak memindahkan wang secara berperingkat menerusi lapan transaksi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, transaksi tersebut dilakukan mangsa menerusi akaun berbeza bermula 25 Mac hingga 2 April (Jumaat) lalu.
“Pada awalnya, mangsa tidak mengesyaki apa-apa perkara pelik berkaitan pelaburan itu sehinggalah dia gagal mengeluarkan wang yang dilaburnya.
“Sebaik menyedari telah ditipu, mangsa membuat laporan polis kelmarin,” ujarnya hari ini.
Katanya, siasatan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dan jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana skim pelaburan yang tidak diketahui kesahihannya.
“Dapatkan butiran lengkap terlebih dahulu setiap syarikat yang menawarkan sesuatu pelaburan sebelum membuat sebarang transaksi dan sebagainya,” katanya. – K! ONLINE