TIDAK dinafikan kejayaan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia menjuarai kejohanan badminton Seluruh England bulan lalu disambut gembira oleh seluruh peminat sukan tanah air.
Apatah lagi ia adalah kejuaraan pertama yang diraih Malaysia pada kejohanan badminton tertua dunia itu selepas kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei empat tahun lalu.
Rata-rata laman media sosial mahupun akhbar tidak putus-putus merakamkan tahniah kepada pemain No.8 dunia itu atas pencapaian tersebut.
Bagi penulis, Zii Jia wajar diberikan pujian memandangkan pencapaian yang dilakukannya itu bukan mudah kerana terpaksa berdepan pemain No.1 dunia, Kento Momota pada suku akhir serta Juara Dunia 2017, Viktor Axelsen pada aksi final.
Harus diakui, pujian yang diterima boleh membuatkan pemain lebih bersemangat menampilkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.
Bagaimanapun, kadang-kala pujian yang keterlaluan boleh memberi kesan terhadap mental para pemain kerana ada sesetengahnya berasa terlalu selesa dengan kejayaan yang dikecapi.
Banyak yang boleh dijadikan contoh terutama dalam sukan badminton tentang kesan jangka panjang yang mungkin dialami pemain apabila diberikan pujian berlebihan.
Justeru, Zii Jia perlu tampil lebih kuat dari segi mental selepas ini memandangkan kejayaan di All England membuatkan peminat sukan tempatan mula meletakkan harapan lebih tinggi terhadapnya.
Bekas pemain No.1 dunia yang juga pengulas sukan, Muhammad Roslin Hashim berkata, pujian adalah salah satu perkara normal terutama apabila memenangi sesuatu kejohanan.
Pujian tidak menjadikan prestasi seseorang merudum, sebaliknya bagaimana atlet itu berdepan pujian tersebut.
“Dia (Zii Jia) wajar diberikan pujian kerana saingan All England bukan calang-calang kejohanan, sangat berprestij. Justeru, tidak hairan jika namanya terus disebut-sebut selain menerima banyak sumbangan.
“Bukan pujian yang menjadikan prestasi pemain menurun, tetapi bergantung kepada kekuatan mental untuk hadapinya. Jangan terleka dengan pujian yang diterima.
“Bagi saya, bukan sahaja Zii Jia, orang sekelilingnya termasuk jurulatih dan keluarga perlu sentiasa memberi peringatan agar fokus dengan tugas sebenar di dalam gelanggang,” kata jurulatih Akademi Badminton Roslin Hashim itu.
Penulis juga berharap pemain kelahiran Alor Setar itu terus merendah diri biarpun sudah berada sebaris dengan pemain-pemain badminton ternama dunia.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut memberi peringatan bahawa perjalanan masih jauh Zii Jia biarpun sudah mampu menggenggam gelaran All England.
“Kejayaan Zii Jia sememangnya membanggakan rakyat Malaysia. Nasihat saya, sentiasa kekal merendah diri kerana ini adalah maraton, bukannya lumba pecut,” katanya.
Pada masa sama, penulis juga berharap Zii Jia terus melakukan persiapan terbaik menjelang kejohanan akan datang.
Sekiranya pemain-pemain seperti Momota, Axelsen, Chen Long dan Shi Yuqi berada pada prestasi terbaik, Zii Jia mungkin akan berdepan cabaran lebih sukar, namun harus diingat seluruh rakyat Malaysia sentiasa berada di belakang anda.