SEBERANG PERAI – Tiga pelajar tingkatan empat antara enam individu yang ditahan ketika leka berlumba haram di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, Butterworth di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, individu berusia di antara 16 hingga 19 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan dalam operasi tiga jam berakhir pukul 8 malam.
“Keenam-enam individu dikesan menunggang motosikal di samping bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi menundukkan badan dari arah Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke pusingan Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT).
“Lima individu berjaya ditahan di lorong motosikal plaza tol manakala seorang lagi ditangkap di Pantai Bersih selepas cubaan melarikan diri gagal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 15 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan. – K! ONLINE.