fbpx

SPRM lumpuhkan sindiket kartel projek bernilai RM3.8 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang percayai terlibat sindiket kartel projek bernilai RM3.8 bilion dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan satu sindiket kartel projek dengan penahanan tujuh orang termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun lewat tengah malam semalam.

Sumber berkata, sindiket kartel projek itu telah memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara membabitkan nilai projek RM3.8 bilion. Sindiket itu telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang.

Menurut sumber, ketua sindiket itu mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat.

“Suspek dikatakan mewujudkan 150 syarikat berbeza dengan menggajikan ‘individu-individu’ sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki suspek sendiri.

“Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan projek-projek pembangunan,” katanya.

Menurut sumber, sindiket itu dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Katanya, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa sesuai untuk menghantar borang tender.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan tangkapan dan tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Kes disiasat di bawah seksyen 17 dan 18 Akta SPRM. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI