SEVILLE, Sepanyol – Real Sociedad menamatkan penantian untuk merangkul kejuaraan pertama sejak 1987 apabila menjulang Piala Raja Sepanyol 2020 selepas menewaskan Atheltic Bilbao 1-0 di Estadio de La Cartuja awal pagi semalam.
Penyerang Sociedad, Mikel Oyarzabal muncul wira selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 pada aksi final edisi musim lalu itu yang sudah tertangguh selama 350 hari disebabkan pandemik Covid-19.
Ketua jurulatih Sociedad, Imanol Alguacil tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas memulakan karier sebagai pemain profesional dengan pasukan itu dari 1989 hingga 1998 sebelum terjun ke bidang kejurulatihan bersama Sociedad sejak 2011.
“Saya sangat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah pasukan. Segalanya tidak mampu dicapai tanpa sokongan padu para peminat dan kesungguhan daripada pemain serta pihak pengurusan.
“Kejayaan ini amat manis kerana saya dan sebahagian daripada skuad ini bersaing dalam saingan divisyen ketiga empat atau lima tahun lalu. Siapa sangka akhirnya kami dapat memberikan sesuatu yang cukup bermakna kepada peminat-peminat,” katanya.
Sementara itu, pengendali Athletic Bilbao, Marcelino tetap berbangga dengan prestasi barisan pemainnya meskipun gagal menghapuskan badi final Piala Raja Sepanyol buat kali kelima selepas tewas empat edisi sebelum ini bermula 1985, 2009, 2012 dan 2015.
Bagaimanapun, mereka masih mempunyai satu lagi peluang untuk menghapuskan badi itu apabila berjaya melayakkan diri ke pentas final Piala Raja Sepanyol musim ini bertemu Barcelona pada 17 April ini.
“Kami tidak akan membiarkan final selepas ini berakhir dengan satu lagi kekecewaan,” jelas Marcelino. – AGENSI