MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan lagi pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya (SJR) bagi memastikan tiada individu yang mengambil kesempatan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari pertama Ramadan.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang didapati cuba untuk merentas negeri bagi tujuan itu dan tindakan undang-undang akan dikenakan tanpa budi bicara.
“Seperti sedia maklum, kebiasaannya umat Islam akan pulang ke kampung halaman untuk meraikan hari pertama Ramadan.
“Saya pasti akan ada individu akan mencuba nasib untuk merentas negeri dengan pelbagai cara dan sekiranya kita dapat kesan individu tersebut, PDRM tidak akan berkompromi,”katanya selepas perasmian Program STSP di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, setakat ini sebanyak 35 SJR dilaksanakan di seluruh pintu masuk dan keluar serta sempadan negeri dan jumlah itu akan ditingkatkan sekiranya jumlah kes harian Covid-19 meningkat. K! ONLINE.