KUALA TERENGGANU – Pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Pantai Timur amat serius dengan 1,609 warga negara itu telah berjaya ditahan dalam tempoh dua tahun.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zubil Mat Som berkata, tempoh sama turut menyaksikan 159 bot nelayan Vietnam turut berjaya disita menerusi Op. Naga dan Op. Kuda Laut.
“Operasi sama melibatkan nilai sitaan (bot, hasil laut, peralatan menangkap ikan dan minyak diesel) bernilai RM493.5 juta.
“Ia termasuk penahanan empat bot nelayan asing Vietnam bersama 24 kru pada semalam,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Zubil berkata, pencerobohan terbaharu itu berjaya dikesan pada kedudukan 110 hingga 113 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Jelas beliau, pasukan penguat kuasa APMM juga berjaya merampas hasil tangkapan laut, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan berjumlah keseluruhan RM2 juta.
“Pemeriksaan terhadap kesemua 24 kru berusia 30 hingga 58 tahun itu mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja sah.
“Empat bot tersebut juga tidak mempunyai kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara oleh Jabatan Perikanan,” katanya. – K! ONLINE