Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
PUTRAJAYA – Janji temu bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan dihantar bermula hari ini melalui aplikasi My Sejahtera.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan menghantar notifikasi janji temu 14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan.
“Dua peringatan itu akan dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan. Saya ingin ingatkan kehadiran adalah wajib kerana kerajaan sudah merancang dengan rapi proses penghantaran vaksin di lokasi yang ditentukan mengikut jumlah penerima vaksin.
“Saya berharap orang ramai yang sudah bersetuju untuk hadir mengikut masa dan lokasi yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini hari ini.
Khairy Jamaluddin berkata, apabila menerima notifikasi janji temu 14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan, orang ramai diberi pilihan bersetuju atau tidak untuk hadir. – K! ONLINE.