LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mahu pasukannya kekal fokus selepas kembali mendapat momentum kemenangan apabila menewaskan Arsenal 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Emirates awal pagi semalam.
Bagaimanapun, keputusan tersebut bagaikan tidak memberi sebarang makna buat Liverpool selepas secara matematiknya mereka disahkan gagal untuk mempertahankan kejuaraan EPL yang dimenangi musim lepas.
Kata Klopp, walaupun sudah tiada lagi peluang untuk memintas pendahulu liga, Manchester City, pasukannya masih lagi mempunyai misi yang perlu diselesaikan terutama merebut slot ke pentas Eropah bagi saingan musim depan.
“Saya tidak mahu melihat kedudukan pasukan pencabar yang berada lebih tinggi berbanding kami ketika ini seperti Chelsea, West Ham, Leicester City dan yang lain kerana jika kami menang semua baki perlawanan liga, peluang kami untuk ke Eropah sangat cerah,” katanya.
Pada aksi tersebut, skuad The Reds tidak mempunyai masalah untuk mendominasi saingan apabila meraih gol hasil ledakan Diogo Jota pada minit ke-62 dan m-82 dan satu lagi jaringan dilakukan oleh pemain sensasi, Mohamed Salah (m-68).
Mengulas mengenai aksi pasukan, Klopp mengakui apa yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya cukup luar biasa kerana berjaya memastikan skuad The Gunners tidak ‘senang duduk’.
“Ini adalah falsafah yang cuba saya terapkan dan mereka berjaya merealisasikannya dengan melakukan serangan balas pantas sekali gus memberi kesukaran buat pasukan tuan rumah. Malah, benteng pertahanan kami juga cukup ampuh dan saya sangat berpuas hati,” katanya.
– AGENSI