TELUK INTAN – Seorang lelaki yang terjatuh dari bot dinaikinya ketika memancing bersama abang iparnya petang semalam, ditemui lemas petang tadi.
Mayat Wan Azila Abdul Aziz, 27, ditemui terapung oleh orang awam kira-kira pukul 2.20 lebih kurang 15 meter dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh di Sungai Rubana dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Teluk Intan serta Pasukan Bantuan Selaman (PBS) membawa mayat mangsa naik ke tebing di pada pukul 2.36.
“Mangsa sebelum ini dilaporkan terjatuh ke dalam sungai selepas bot dipandu abang iparnya cuba mengelak dari melanggar sampah sarap dan keladi bunting,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd Ismail, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 5.48 petang semalam berhubung insiden tersebut.-K! ONLINE