KAMPAR – Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan maut dengan kesan koyakan di muka dan hentakan di kepala disyaki menggunakan tukul besi di kebun sayur dekat Ayer Hitam Labu, Tronoh Mines di sini hari ini.
Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemukan berlumuran darah oleh pemilik kebun berusia 52 tahun kira-kira pukul 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, ketika pihaknya sampai di lokasi, mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang tanpa baju dan hanya berseluar pendek berwarna hijau.
Katanya, pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan hentakan objek tumpul di kepala dan koyakan di bahagian muka.
“Lokasi mangsa dijumpai kira-kira 20 meter dari pondok yang digunakan sebagai tempat penginapan namun pemeriksaan di pondok tersebut tidak menjumpai apa-apa pengenalan diri lelaki terbabit.
“Siasatan oleh Unit Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Unit Anjing Pengesan (K9) di lokasi bagaimanapun menemui tukul besi yang terdapat kesan darah, sebilah parang berukuran 60 sentimeter dan botol serta tin minuman keras berhampiran mayat lelaki itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara mangsa dan suspek ketika mabuk.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan tukul besi yang dijumpai di tempat kejadian sebagai senjata untuk memukul bahagian kepala mangsa.
“Kira-kira pukul 3.30 petang, seorang lelaki Myanmar telah ditahan di Stesen Bas Kampar Putra di mana lelaki itu merupakan seorang daripada pekerja di kebun sayur tersebut tetapi tinggal di pondok berlainan.
“Siasatan awal terhadap lelaki berusia 30 tahun itu memaklumkan kejadian berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi namun dia tidak nampak kejadian itu kerana sedang tidur.
“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan tiga rakannya yang juga warga Myanmar dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-K! ONLINE