fbpx

Kes kecurian kenderaan menurun 37 peratus tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mas Tina (empat kanan) dan Dev Kumar (enam kiri) ketika pelancaran Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan di TPC, Bukit Kiara di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19 dikesan antara faktor yang mendorong penurunan kes kecurian kenderaan di negara ini pada tahun lalu.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia (VTREC), berlaku penurunan sebanyak 4,275 kes atau bersamaan 37 peratus berkenan kehilangan kenderaan bagi tahun 2019 (11,675 buah) dan 2020 (7,400 buah)

Ko-ordinator VTREC, Mas Tina Abd. Hamid berkata, daripada keseluruhan jumlah kenderaan yang dilaporkan hilang pada tahun lalu, Proton Wira merekodkan jumlah kenderaan paling tinggi yang menjadi sasaran kecurian iaitu sebanyak 353 buah.

“Ia diikuti dengan kereta jenis Proton Iswara dan Toyota Hilux masing-masing sebanyak 273 dan 209 buah.

“Selain daripada kenderaan tersebut, kereta lain yang turut menjadi sasaran adalah Perodua Kancil (114 buah), Perodua Myvi (131), Proton Saga (110), Proton Waja (104), Honda Civic (85), Honda City (75) dan Toyota Velfire (60),” ujarnya ketika membentangkan statistik tersebut.

Terdahulu, pelancaran Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) -VTREC telah berlangsung di Tournament Players Club (TPC), Bukit Kiara di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar.

Jelasnya, Negeri Selangor mencatatkan jumlah kehilangan kenderaan paling tinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 2,332 buah kenderaan, diikuti Kuala Lumpur (1,572 buah), Johor (1,006 buah), Kedah (495 buah) dan Sarawak (454 buah).

“Semakan kita mendapati, purata sejumlah 32 buah kenderaan telah dilaporkan dicuri setiap hari pada tahun 2019 dan menurun kepada 20 buah kenderaan pada tahun lalu.

“Kita percaya penurunan ini mempunyai kaitan dengan pelaksanaan PKP di negara ini dan juga kesan penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI